Sunday, 26 January 2014

Perubahan, Tekad & Istiqamah

Setiap orang pasti akan merubah ingin menjadi baik dan lebih baik. Namun bagaimana dengan tekad kita?keazaman kita?tahap istiqamah kita?Sudah tentu kita akan berasa was-was, dan takut. Takut untuk berubah bukan isunya. Tapi takut tidak dapat mengekalkannya (istiqamah) yang paling banyak difikirkan.

Dalam kehidupan seharian kita baik hubungan sesama keluarga, rakan, masyarakat dan pasangan, merekalah yang banyak mempengaruhi sebahagian besar hidup kita. Kadang kita terfikir, mengapa perlu ada orang mencampuri urusan kita?mengapa perlu orang luar mempengaruhi kita?sedangkan kita punya diri, kita sendirilah yang sepatutnya menjaganya. Diri kita sendirilah yang sepatutnya menentukan sama ada kita mampu untuk berubah ke arah yang baik dari hari ke hari.  Tapi kita jangan lupa, rakan dan pasangan yang bermanfaatlah yang akan sentiasa menegur dan menasihati kita supaya kita tidak leka dan hanyut.

Proses perubahan seseorang mungkin boleh memakan masa berhari-hari, berminggu-minggu malah mungkin bertahun-tahun. Di dalam proses ini, kita sebenarnya masih tercari-cari apakah bentuk perubahan yang dinginkan. Sama ada berubah ke arah lebih buruk atau atau lebih baik. Kita semua mungkin sudah lupa perjanjian kita ketika di alam roh (luh mahfuz) sebelum kita ditiupkan roh untuk lahir ke dunia. Di sana, kita berjanji:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan Kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Surah al-A'raaf, ayat 172


Kita sebenarnya sudah memilih kebaikan sebelum kita lahir lagi. Apabila lahir ke dunia kita sebenarnya sudah tiada pilihan selain memegang kepada janji kita dengan Maha Pencipta. Namun mengapa apabila di dunia ini, kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan. Kita perlu tahu, asbab kita di lahirkan. Cuba kita fahami kata-kata ini:

"We are not human beings on a spiritual journey. We are spiritual beings on a human journey"
(Stephen R. Covey)

Ini bermaksud, jika kita melakukan perubahan pada diri kita, kita perlu mulakan dari dalam diri kita. Apa yang ada di dalam diri kita?Itulah roh kita atau apa yang kita panggil sebagai hati/jiwa. Hati atau jiwa yang bersih akan memandu kita ke arah kebaikan, insyaAllah. Di sinilah cabarannya sama ada kita mampu mengekalkannya dalam dunia yang penuh pancaroba ini. 

Selagimana kita kekal bermotivasi dan sentiasa mencari kebaikan, insyaAllah, kebaikan dan kebenaran pasti akan kita  genggam. Jangan sesekali kita berputus asa. Sebenarnya, kembara mencari kebaikan dan kebenaran tidak akan pernah berakhir kerana jiwa kita ini akan sentiasa mencari jalan pulang ke Penciptanya. Sentiasalah biasakan diri menyebut "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Allah, dan berharaplah kepada Allah", dan harus diiringi dengan usaha. Andai kita terasa lemah, luahkan pada Allah. Bersembanglah dengan dengan rakan-rakan yang mampu mendorong kita ke arah kebaikan. 

Andai ada yang memandang serong akan perubahan diri kita, percayalah, itulah ujian daripada Allah untuk kita dalam mengangkat darjat kita. Jika kita tewas, itu bermakna, jiwa kita yang lama masih tidak dapat dibuangkan. Basahilah lidah dengan istighfar, semoga dengan istighfar dosa-dosa kecil kita diampuni Allah. Mohonlah keampunan dengan Allah. Semoga jiwa kita ini sentiasa bersih dan mendapat hidayah Allah.  

Seorang bijak pandai ada berkata, "Teruskan perjalanan dan pencarian anda, anda akan bertemu juga dengan kebenaran suatu hari nanti. Tekadkan dalam hati, nescaya akan ketemu jua"

Semoga kita tidak berasa takut dan was-was untuk berubah, kerana  berubah ke arah kebaikan itulah fitrah jiwa kita. Teruslah beristiqamah dengan usaha-usaha kebaikan yang kita lakukan kerana Allah, dan sesama manusia.


"I didn't come here to make the choice, I've already made it. I am here to try to understand why I made it"

Syukur kepadaMu Ya Allah, kerana memberi peluang & hidayah kepada hambamu ini...
Engkaulah yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang...



No comments:

Post a Comment