Wednesday, 29 January 2014

Kemarahan, Kesabaran & Kemaafan : Lebih baik tersalah ampun daripada tersilap hukum

Tajuk entri itu sendiri dah jelas. Diambil dari kata-kata di dalam novel terbaru Ramlee Awang Murshid (RAM) "Sunan : Naggroe Sang Kembara". Seperti biasa, sebagai peminat setia RAM, disamping John Grisham, tiada satu pun lagi novelnya yang ketinggalan. Edisi wajib beli untuk kesemua novel RAM. Hehehe..


Cumanya kali ini, kata-kata sisipannya "Lebih Baik Tersalah Ampun, Dari Tersilap Hukum" sangat terkesan di jiwa. Memang sesuai dengan watak Sunan yang pemaaf itu sendiri jika dilihat dari siri-siri novel berkaitan Sunan sebelum ini. 

"Lebih Baik Tersalah Ampun, Dari Tersilap Hukum", ternyata jelas ia membawa maksud kepada sifat pemaaf. Satu sifat terpuji yang ada pada junjungan besar Rasulullah SAW. Masih ramai lagikah antara kita yang mempunyai sifat pemaaf ini?Mudahkah lagi untuk mengucapkan "Saya minta maaf", "I am sorry". Di zaman di mana keegoan lebih tinggi dari kerendahan hati. Dengan hanya tiga suku kata, kita mungkin dapat menyejukkan hati seseorang dan melapangkan dada kita.

Teringat kisah seorang nenek atau seorang budak di Indonesia yang menjadi pencuri. Walaupun kisah ini kemudiannya didapati palsu kerana ia hanya berlegar di alam maya. Mungkin ia ceritera kisah rakyat. Mungkin juga ia berlaku, namun akibat tidak direkodkan, ia hanya disampaikan dari mulut ke mulut. Akibatnya, sejarah menjadi legenda, legenda menjadi mitos.

Aku pun tak ingat sangat dah. Tapi kisahnya memang memberi pengajaran. Di mana seorang hakim menghukum orang-orang di dalam mahkamah dengan menyuruh orang awam turut membayar denda dan menderma kepada pencuri tersebut untuk mengelakakan pencuri tersebut dipenjarakan. Justifikasinya,  kerana orang awam yang tinggal di kota yang sama membiarkan pencuri tersebut menjadi fakir hingga memaksanya mencuri untuk memberi sesuap nasi kepada keluarganya,

Tidak pasti jika di dunia realiti kita ini, hakim boleh membuat keputusan sebegitu atau tidak. Atau ia sekadar kisah untuk menjustifikasikan mencuri itu dibolehkan. Namun yang boleh diambil adalah, sekurang-kurangnya hakim tersebut mempunyai sifat pemaaf. Adakah mungkin hakim tersebut bakal tersalah hukum jika terus membuat keputusan menghukum pencuri tersebut tanpa mengambil kira pelbagai faktor lain?atau adakah hakim akan dilihat tidak adil kepada mangsa pencuri?wallahua'lam. Sebagai hakim, sudah pasti mereka lebih arif & bijak.

Jika hendak dilihat sifat pemaaf Rasulullah SAW terlalu agung sifatnya. Dalam keadaan di mana baginda dihina, dipukul, diletakkan racun di dalam makanan, baginda masih memaafkan perilaku musuh-musuhnya. Bagaimana agaknya kalau kita?Sukar diungkap dengan kata-kata. Biarlah sejauh mana kesabaran kita mengawalnya. Apabila seseorang sengaja membuat silap kepada kita dengan tujuan untuk menyakitkan hati, terkadang teruji kesabaran kita. Terasa hendak membalas semula sebagai balasan dan pengajaran kerana kita juga mampu berbuat demikian.

Namun, siapalah kita pada pandangan Allah jika hati kita penuh dengan sifat mazmumah seperti marah dan  dendam?Sedangkan Allah menyintai hambanya yang membuat kebaikan. Di saat kita sebenarnya mampu membalas, tetapi kita boleh memilih untuk memaafkan kerana itulah sifat paling mulia dan sesungguhnya orang yang kuat ialah orang mampu menahan rasa marahnya.

Memaafkan dan bersabar mampu membuatkan hati kita tenang.

Semoga iman dan takwa sentiasa memandu ke arah kebaikan dan kemuliaan di sisi Allah.


 






No comments:

Post a Comment