Thursday, 2 April 2020

Ulasan Buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka

"Patut la Tom Pires cakap siapa yang menguasai Melaka, dia akan memegang leher Venice". Itu ayat yang terpacul secara automatik dari mulut aku semasa membaca buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka yang ditulis oleh Farahana Shuhaimi. Buku yang dibeli pada 12 Jun 2019.



Buku ini sangat mudah untuk difahami fakta-faktanya kerana penulis telah memecahkan mengikut tajuk-tajuk berikut:

1) Kota Melaka dan Penduduk (geografi dan struktur bangunan di Melaka)
2) Waris dan Pewaris Melaka (sehingga kejatuhan Melaka)
3) Pembesar dan Wilayah Melaka (struktur pentadbiran Melaka)
4) Melaka dan Ekonomi (Melaka sebagai pusat perdagangan)
6) Melaka dan Peperangan (strategi, kelengkapan perang dan pengkhianatan)
7) Melaka dan Pengangkutan (laut dan darat)
8) Melaka dan Permainan (permainan tradisional)
9) Melaka dan Rasuah (monopoli perniagaan, fitnah dan sikap tamak pegawai)
10) Melaka dan Cinta (perkahwinan raja-raja Melaka)
11) Melaka dan Undang-Undang (hukum kanun Melaka dan undang-undang laut Melaka)
12) Melaka dan Islam (ketibaan dan penyebaran Islam di Melaka)

Pada setiap tajuk, ada banyak sub-topik yang memfokuskan kepada fakta-fakta berkaitan Melaka sama ada sebelum, semasa ataupun selepas zaman kegemilangannya.

Tidak ramai mengetahui bahawa Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mampu membina tamadun kota yang hebat di zamannya. Aku sendiri walaupun sangat meminati sejarah, masih banyak persoalan mengenai Melaka terutamanya bagaimana keadaan sebenar Melaka pada zaman kegemilangannya dan sebelum kejatuhannya.

Dalam buku ini, penulis membentangkan fakta-fakta menarik yang belum pernah aku tahu. Sebagai contoh, di bawah tajuk Melaka dan Peperangan yang mempunyai sub-topik paling banyak dalam buku ini menyatakan Melaka ada pasukan penembak tepat!!wow!!serius la!!!?? aku tidak tahu menahu tentang skuad ini. Dikatakan bahawa pasukan penembak tepat ini berjaya melakukan tembakan tanpa dapat dikesan oleh askar-askar Portugis walaupun dalam keadaan cuaca yang baik dan panas terik. Ini menarik!!

Fakta-fakta yang dilampirkan di dalam buku ini juga mampu menangkis kenyataan pihak-pihak yang menyatakan bahawa Melaka pada ketika dahulu hanya sekadar kota pelabuhan kampung. Perlu diingatkan, setiap tamadun mempunyai garismasa untuk mencapai zaman emasnya. Tamadun tidak dibina dalam sehari, setahun hatta seratus tahun. Venice dahulu yang terbentuk dari 118 pulau berlumpur, mengambil masa selama lebih 500 tahun untuk mencapai puncak kegemilangan sebagai pusat perdagangan terkemuka di Eropah dengan pelbagai inovasi pembentukan kota dan pelabuhan di atas air.

Ya, Melaka mungkin bermula sebagai sebuah pelabuhan kampung, tetapi adalah mustahil sultan-sultan Melaka terus menerus membiarkan ia kekal sebagai pelabuhan kampung. Sebagai pewaris Srivijaya yang pernah menjadi kuasa agung maritim di sebahagian rantau Asia Pasifik, sudah pasti mereka mempunyai ilmu laut, politik dan geo-politik serta pengurusan dan pentadbiran yang bukan calang-calang dimiliki orang biasa ketika itu untuk membangunkan Kota Melaka.

Bayangkan, penulis menyatakan Kesultanan Melaka memiliki sekurang-kurangnya enam (6) buah kapal iaitu Kapal Mendam Berahi, Kapal Genta Segara, Kapal Sai'rul 'Alamin, Kapal Mir'atul-saffa, Kapal Batil Suasa dan Kapal Ranjang Bagung. Ini belum termasuk kapal-kapal untuk berdagang yang mana dinyatakan lapan (8) buah kapal Melaka mampu membawa muatan yang dibawa oleh 20 kapal Portugis!!!  Itu belum lagi aku lampirkan dalam satu catatan bahawa kapal dagang Melaka tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan China hanya kerana saiznya yang besar dan perlu berurusan di tengah laut!! Tidakkah itu menunjukkan teknologi perkapalan Melaka sebenarnya telah mencapai pada satu tahap yang canggih.

Sambil membaca buku ini, aku terfikir seandainya Melaka tidak tumbang, dan mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama lagi sekurang-kurangnya sehingga abad ke-18 atau 19, sudah pasti pelbagai ilmu perdagangan, pelabuhan, ekonomi, teknologi dan pelbagai lagi mampu untuk berkembang lebih maju kerana jarak waktu yang tidak begitu jauh dengan zaman moden.

Namun apakan daya, seperti yang dinukilkan penulis di dalam bukunya antara punca jatuhnya Kota Melaka ialah, kelemahan kepimpinan sultan itu sendiri, konflik politik dan rasuah di kalangan pedagang, pembesar dan pegawai istana, serta wujud pembelot di kalangan rakyat Melaka sendiri, pendatang dari India dan pedagang Cina. Amat menyedihkan apabila penulis menyatakan banyak orang  Melaka dibakar Portugis hidup-hidup di Bukit Tempurung dan wanita Melaka dimurtadkan.

Banyak pengajaran boleh diambil dari buku ini. Seseorang yang aku admire ada mesej di whatsapp mengatakan bahawa ada pelajarnya berkata pada dia "barang lama jangan dikenang". Aku balas semula, "wajar dikenang, dihargai dan diambil pengajaran"😉. Ya!! sejarah wajar dikenang, dihargai dan diangkat supaya ia jadi cerminan untuk generasi kita dan akan datang supaya tidak melakukan kesilapan yang sama yang pernah nenek moyang kita lakukan. Biarlah semangat sejarah itu tetap mengalir di dalam diri kita bagi memastikan jatidiri kita tetap utuh.












No comments:

Post a Comment