Apa itu Inferiority Complex? Secara literalnya ia bermaksud "rasa rendah diri". Dalam konteks sejarah pula ia bermaksud seseorang yang mempunyai rasa rendah diri, dan malu kepada apa-apa perkara berkaitan bangsanya sendiri sehingga boleh membawa kepada sindrom penafian (denial syndrome) dan paling kritikal ialah perasaan benci kepada kaum sendiri (racial hatred).
Ini terjadi kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah bangsa dan dimomokkan dengan istilah-istilah dan konteks negatif serta penghinaan yang dikemukakan oleh pihak lain terhadap bangsa sendiri. Semua ini sebenarnya dapat diatasi dengan MEMBACA dan MENONTON dokumentari sejarah bangsa sendiri!!
Jadi, apa kaitan Inferiority Complex dengan entri kali ini? Nanti aku akan jelaskan. Untuk sesi ulasan buku, kali ini aku ketengahkan buku yang bertajuk JANGAN SELEWENGKAN SEJARAH MELAYU, yang ditulis oleh saudara Helmi Effendy yang juga merupakan salah seorang admin laman muka buku The Patriots. Buku ni aku beli pada 12 Jun 2019 dan dah lama aku habiskan sebenarnya. Tapi yang menjadi pencetus aku membuat ulasan untuk buku ini adalah kerana manusia bernama Tan Sri Dato Dr Hj Mujeebudeen (akaun Twitter). Nantilah aku kupas isu manusia yang seorang ni.
Berbalik kepada ulasan buku.
Di dalam buku ini penulis dengan tegas menyanggah pendapat dan fakta yang tidak sahih dari pihak-pihak yang cuba memesongkan sejarah Melayu. Ada beberapa 'personaliti' telah mengemukakan fakta yang tidak betul dan serius seperti saudara Uthaya Sankar melalui bukunya yang bertajuk Malaiur Manikam yang mendakwa Bahasa Melayu berevolusi dari bahasa pasar (perdagangan) sebelum ia menjadi lingua franca. Beliau menjelaskan terdapat banyak kosa kata hasil komunikasi antara pedagang dari pelbagai negara, bahasa dan budaya yang kemudiannya menjadi kosa kata khusus yang difahami oleh orang-orang Melayu dan pedagang di Melaka.
Penulis menjawab tohmahan Uthaya Sankar dengan mengeluarkan bukti Bahasa Melayu sebagai sebahagian dari keluarga besar bahasa Austronesia. Kemudiannya penulis mengemukakan fakta yang menyatakan:
1) Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa (Francois Valentijn):
2) Peranan Maharaja Ming Cheng Zhu (Dinasti Ming) memasukkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diajar kepada Jurubahasa China ketika menubuhkan Balai Bahasa Negeri-Negeri Asing pada tahun 1405 di Ying Tian (kini Nanjing).
3) Prasasti Dong Chen Yau (abad ke-4 Masihi), Prasasti Kedukan Bukit (683M), Prasasti Talang Tuwo (684M), Prasasti Kota Kapor (686M), Prasasti Karang Brahi (686M). Kesemua prasasti ini dipahat dalam Bahasa Melayu kuno.
Jelas di sini bahawa penulis mempunyai ilmu dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang sejarah dalam mematahkan hujah saudara Uthaya Sankar.
Apa yang malangnya ialah, perlecehan terhadap sejarah Melayu bukan sahaja cuba dilakukan oleh bangsa asing, tetapi juga oleh orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang sejarah bangsa, merasa rendah diri atau malu tidak bertempat dengan bangsa sendiri serta berpura-pura tidak ambil tahu kerana ada agenda peribadi. Manusia-manusia seperti ini di dalam diri mereka ada sifat Inferiority Complex sehingga sanggup menafi dan memutar-belitkan fakta-fakta dan seterusnya menyemarakkan lagi sifat penafian dan kebencian terhadap bangsa dan sejarah sendiri apatahlagi jika mereka seorang yang berpengaruh.
Melalui buku ini juga penulis memperbetulkan salah anggap yang wujud dalam sebahagian masyarakat kita berkaitan sesetengah budaya Melayu yang dianggap tabu seperti menabur bunga di kuburan yang dikatakan meniru amalan Yahudi dan Kristian serta persandingan ketika kenduri yang dimomokkan sebagai sebahagian daripada ajaran Hindu.
Pada aku, kedua-dua perkara ini jika hendak dilaksanakan adalah bergantung kepada niat dan kaedah pelaksanaannya. Jika persandingan pengantin sehingga mendedah aurat dan membuka aib, maka tiadalah keperluan untuk bersanding atau yang harus dijaga itu sebenarnya adalah aurat dan aib. Bukannya meremehkan adat bersanding itu. Jika menabur bunga di atas kubur dengan tujuan menggantikan pelepah kurma dan bukan untuk membazir, maka tiada masalah untuk dilaksanakan.
Kelantangan penulis mengkritik sesetengah agamawan mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi ia perlu dilakukan apabila ada antara mereka sesuka hati dan mudah menjatuhkan hukum ke atas budaya bangsa yang tidak menyerupai budaya Arab. Ada sesetengahnya juga tidak betul dan boleh membawa kepada fitnah.
Penulis juga mengkritik mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib yang mendakwa Melaka tewas kerana menggunakan pedang dan keris sahaja. Tidak ketinggalan, turut ditegur adalah Ustaz Ridhuan Tee Abdullah yang mengeluarkan kenyataan "Tanpa dakwah Cina, Melayu mungkin sembah pokok" ketika beliau mempersoalkan layanan yang diberikan kepada golongan mualaf.
Dari Uthaya Shankar dan Jayagopal Adaikkalam, kepada Amzarul Yuzrin Mohd Yusof, Zaharin Mohd Yasin dan PoyoMelayu (aku syak akaun FB palsu) sehinggalah kepada pendakwah terkenal Ustaz Ridhuan Tee Abdullah dan mantan Perdana Menteri, kesemua mereka dikritik penulis berbekalkan fakta-fakta yang disokong hasil kajian pakar-pakar sejarah.
Keseluruhannya buku yang mempunyai 22 bab dan setebal 213 muka surat ini mampu menjawab segala penyelewengan, putar belit dan pemalsuan fakta yang cuba dibawa oleh mereka-mereka yang mengatakan Melayu tidak punya bahasa, sastera, teknologi dan tamadun.
No comments:
Post a Comment