Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka
Daulat tuanku!!!
Daulat tuanku!!!
Daulat tuanku!!!
Semoga Allah merahmati dan mengurniakan taufik dan hidayah kepada Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam memerintah watan.
Sangat menarik untuk melihat pelbagai adat istiadat yang perlu dilalui oleh setiap insan yang bergelar Sultan Perak. Segala adat istiadat tersebut disifatkan sebagai satu petunjuk kerana ia memberi sebab hingga seolah-olah ia perlu dilakukan.
Kenapa???
Panjang dan bersimpang siur sejarahnya. Sejarah yang aku sendiri tidak tahu sebelum ni(tidak pernah ambil tau sebenarnya). Sekurang-kurangnya dengan beberapa petunjuk dari penulisan Srikandi di FB dan Riwayat Melayu, dapatlah sedikit pencerahan tentang mengapa adat-adat tersebut perlu dilakukan.
Melalui pencarian untuk mendapatkan sedikit maklumat, sekurang-kurangnya aku tau serba sedikit apa kaitan keturunan Kesultanan Perak zaman moden ini dengan Kesultanan Melayu Melaka, Aceh, Pasai Kelantan, Orang Asli, malah jauh sebelum itu lagi seperti Sailendra, Srivijaya, Gangga Negara, Beruas dan Manjung.
Semuanya ini ada kaitan dan juga pertalian. Sejarah kesultanan dari berbagai garis keturunan diraja dan sejarah Melayu itu sendiri yang bersimpang siur, membuatkan banyak antara kita sukar mencari petunjuk-petunjuknya. Silap masuk simpang, kita mungkin akan tersesat dan mula mengatakan sejarah kita hanya fiksyen rekaan penjajah. Salah simpang, kita mungkin mengaku kita berasal dari Yunnan atau India.
Jika diamati, ia bukan fiksyen kerana orang putih sendiri memerlukan tandatangan sultan-sultan Tanah Melayu ketika hendak menubuhkan Malayan Union. Mengapa mereka tidak membunuh sahaja semua sultan di Tanah Melayu jika hendak menubuhkan Malayan Union seperti yang berlaku di Indonesia??Mereka sangat penyabar dengan orang-orang Melayu. Pasti ada sebab sangat utuh!!!
Itu belum lagi diperincikan, siapakah Tok Temong?Satu figura yang yang sangat berpengaruh kepada Sultan Perak yang mana makamnya wajib diziarahi oleh setiap Sultan Perak yang baru ditabal.Apakah ia nama, atau gelaran?
Apa kaitan Tok Temong dengan Sultan Perak Pertama, Sultan Muzaffar Shah I? Kenapa tidak Tun Saban sendiri melantik Tok Temong menjadi Sultan/Ratu negeri Perak?atau melantik dirinya sendiri. Tok Temong boleh sahaja menjadi Ratu Negeri Perak jika dia mahu. Atau Tun Saban boleh sahaja menabalkan Maharaja Lambor dan pembesar-pembesar lain yang ketika itu turut berkuasa ke atas jajahan masing-masing di Perak. Kenapa perlu menjemput pewaris Melaka-Srivijaya sendiri untuk menjadi Sultan di Perak? Banyak persoalan timbul apabila mendapat maklumat mengenai sistem kesultanan melayu khususnya di negeri Perak.
Walau apapun, institusi beraja perlu memegang kuat pada tali Allah, supaya ia menjadi contoh dan ikutan rakyat. Waadat antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun harus difahami dengan jelas melalui pendidikan dan pemahaman. Ayat-ayat yang tersirat di sebalik waadat itu perlu diterjemah dengan jelas agar dapat difahami generasi kini. Jangan hanya melihat yang tersurat sahaja, tanpa memahami yang tersirat di sebalik perjanjian mereka. Jika ini boleh difahami oleh raja dan rakyat, peranan dan fungsi institusi beraja sudah pasti akan kekal relevan hingga akhir zaman.
Daulat tuanku!!!
No comments:
Post a Comment