Wednesday, 19 November 2014

Diving Koh Lanta Event Siri 1/2014 Batch 1 Scuba Jeff : Bahagian 1- Koh Lanta dan Sisi Sosialnya

Koh Lanta bukan sekadar menyelam 
Alhamdulillah, bersambung semula untuk entri trip ke Koh Lanta. InsyaAllah, kali ini aku akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman sepanjang 4h3m berada di Koh Lanta.

Apabila tiba sahaja di Koh Lanta Yai, kami terus menghala ke Khlong Nin di mana terletaknya Pada Hotel tempat kami menginap sepanjang di Koh Lanta. Jarak ke Khlong Nin dari pekan Saladan adalah kira-kira 12km. Sepanjang perjalanan dari jeti, melalui pinggir pekan Saladan sehingga ke hotel, suasananya tidak ubah seperti Langkawi. Pekan Saladan ibarat pekan Kuah di Langkawi yang mana ia menjadi pusat bandar bagi Koh Lanta. Sepanjang perjalanan dari pekan Saladan hingga ke hotel, kiri kanannya diselang-seli dengan pelbagai kedai makan, kedai tempahan baju (siap dalam masa 24 jam), kedai menjual kain baju, dan hotel-hotel bajet sehingga ke resort-resort mewah.
Sampai sahaja di hotel, kami terus check-in. Aku satu bilik dengan Hapes. Azni pula sebilik dengan Pucuk. Hotel ni dimiliki oleh seorang pedagang Arab-Mesir. Ayat pedagang tu..haha..macam zaman dulu-dulu pulak!!seorang yang baik dan sangat bertoleransi. Mungkin sudah lama berada di dalam lingkungan orang-orang Melayu dan Siam yang lebih banyak berlembut dan bertolak ansur. Keadaan hotelnya sangat selesa dan biliknya luas. Yang penting, aroma di dalam bilik termasuk bilik air diharumkan dengan aroma yang sangat menyenangkan. Aroma Arab!!!Berbaloi-baloi untuk untuk tinggal di sini. Kedai 7e dekat, masjid pun di sebelah hotel sahaja, & kemudahan akses kepada gerai-gerai Melayu juga dekat dan mudah.


Mungkin ada keliru, kenapa dipanggil Melayu. Kenapa tidak dipanggil Siam. Yang perlu kita tahu ialah, sebelum ada orang-orang Siam di Segenting Kra, telah wujud orang Melayu di kawasan tersebut sejak beribu-ribu tahun dahulu. Mereka telah menubuhkan kota-kota kerajaan Melayu di Segenting Kra yang kini sangat-sangat dijaga dan dilindungi tetapi digelap dan disembunyikan oleh Kerajaan Thailand.  Mereka beragama Islam,  yang mana sebahagiannya kekal beragama Islam sehingga hari ini. Bezanya kini, orang-orang Melayu di Koh Lanta sudah kurang/tidak lagi fasih berbahasa Melayu seperti saudara-saudara mereka di Pattani. Proses menThailandkan orang-orang Melayu dan Siam berlaku dengan pesat di seluruh kawasan Segenting Kra yang kini telah menjadi milik Thailand terutamanya selepas Perjanjian Bangkok 1909 antara Raja Thailand dan pihak British yang sangat berat sebelah kerana tidak melibatkan raja-raja Melayu. Hasilnya, walaupun mereka masih mengamalkan adat-adat Melayu, mereka tidak lagi pandai berbahasa Melayu. Majoriti mereka hanya pandai berbahasa Siam, Thai & English sahaja. Namun yang pasti, mereka tetap beragama Islam dan masih mengamalkan ajaran-ajaran Islam.  

Yang dipanggil orang Siam pula ialah mereka yang mempunyai keturunan campuran antara Mon, Khmer, Thai & juga Melayu. Dan bahasa mereka juga bahasa cedokan dari bahasa-bahasa 4 bangsa tersebut. Kebanyakan mereka beragama Buddha. Orang Siam juga telah lama menetap di Segenting Kra sebelum orang-orang Thai. Terdapat pertalian keturunan yang erat antara orang Siam dan orang Melayu. Ada juga yang beragama Islam. Ini terbukti apabila kami bersembang seorang pak cik Melayu yang menjadi tuan tanah kepada dua (2) pintu kedai yang disewakannya kepada peniaga. Dah tak ingat apa nama dia. Berasal dari Satun, dan telah menetap di Koh Lanta selama 32 tahun. Pak Cik tu bagitau ada juga peniaga Siam di sini masuk Melayu (maksudnya masuk Islam). Mereka berbahasa Siam, yang mana bahasa mereka juga tidak difahami dengan baik oleh Wanchalerm Pao (dia ni antara top 5 underwater photographer terbaik di Thailand). Ibarat orang Rantau Panjang, Kelantan bercakap dengan orang Bota, Perak..haa..macam tu la..korang bayangkan lah ye..

Yang menariknya, baik orang Melayu atau Siam di Koh Lanta, mereka masing-masing menggantung gambar raja mereka iaitu Raja Bhumibol Adulyadej. Menggambarkan betapa setianya mereka kepada Raja Thailand tersebut. Ketika menulis entri ini, tiba-tiba teringat bagaimanakah keadaannya orang-orang Melayu di Segenting Kra ini jika sekiranya raja-raja Melayu dahulu saling tidak bermusuhan, dan bersatu. Jika dahulu Singgora tidak menyerang Pattani hanya kerana untuk menunjukkan keegoaan dan kejaguhannya, Singgora hampir pasti tidak jatuh ke tangan kerajaan Ayutthaya (kerajaan orang Thai). Melayu bersama agama dan bahasanya masihi kekal milik orang Melayu. Sepatutnya kerajaan-kerajaan Melayu di Segenting Kra seperti Ligor, Singgora, dan Pattani bersatu menghadapi serangan Thai Ayutthaya dengan bantuan Kedah. Tapi malangnya, sesama mereka sahaja saling menunjukkan kuat, tetapi, Singgora tewas juga apabila diserang Raja Narai dari Kerajaan Thai Ayutthaya tanpa mendapat bantuan dari mana-mana kerajaan Melayu. Paling sadis, selepas itu, Ligor dan Singgora menjadi kambinghitam kerajaan Ayutthaya bersama-sama Inggeris dan Belanda menyerang dan menjarah kerajaan Pattani dan disambung oleh Era Chakri. Sebenarnya era pendudukan orang-orang Thai di Segenting Kra bermula lagi pada era Kerajaan Sukhotai, dan makin bercambah bila tiba era Kerajaan Ayutthaya dan seterusnya Era Dinasti Chakri sehingga ke hari ini.

 sempadan sebenar Semenanjung TanahMelayu sebelum pendudukan orang-orang Thai.
Orang Siam turut mendiami di kawasan Segenting Kra lama lagi dari orang-orang Thai.
(Sumber Gambar: Blog sejagatraya.com)

perhatikan "Malay Cape" Batu Sempadan sebenar Semenanjung Tanah Melayu yang memisahkan antara negeri orang-orang Thai dan Melayu (Sumber: Blog sejagatraya.com)

Opss..terkeluar pulak topik kisah Koh Lanta...cerita sejarah ibarat candu pada aku!!hehe..namun itulah secebis dari 1001 kisah sejarah mengenai Segenting Kra yang mana peristiwa-peristiwa tersebut membawa kepada perubahan geopolitik Asean pada hari ini, khususnya melibatkan Malaysia dan Thailand, termasuk orang-orang Melayu di Thailand dan Malaysia. Menurut pak cik tadi juga, hanya orang-orang Siam danThai sahaja  yang memanggil orang Melayu sebagai Malai. Manakala orang-orang Melayu di Koh Lanta dan kebanyakan tempat di Segenting Kra, masih ada yang memanggil orang Melayu sebagai Melayu. Boleh nampak perbezaannya di situ dari segi bahasa.

Berbalik kepada kisah pak cik tadi, beliau mempunyai 2 unit kedai yang disewakan kepada peniaga dengan kadar RM4,500.00 sebulan setiap kedai. Isteri beliau juga turut meniaga ayam panggang yang menjadi kegilaan aku sepanjang di Koh Lanta. Itu belum lagi termasuk sawah padi yang luasnya kira-kiranya 100 relung!!!. Yang menariknya, penampilan pak cik tersebut biasa-biasa sahaja. Dengan berbaju kemeja, berkain pelikat di angkat hingga ke paras lutut, berselipar jepun dengan rokok daunnya, sambil bersahaja menceritakan bahawa kebanyakan orang-orang di Koh Lanta yang berniaga sememangnya punya banyak duit dan aset hartanah. Cuma penampilan dan rumahnya apabila ditengok, biasa-biasa sahaja. Tidak banyak rumah-rumah banglo. Cukup sekadar untuk berteduh dan sara hidup anak beranak. Memang hebat la pak cik!!!Bangga juga melihat orang Melayu punya aset walau di negeri orang.

kalau dah kaki makan, pada aku, ayam panggang ni memang berhantu!!bak kata Jeff
"kulit ayam panggang dia memang jahat!!!""

gambar pakcik tu lupa nak snap..tapi inilah family dia yang meniaga ayam panggang berhantu dan sangat jahat sekali!!!hehe

Yang menarik di Koh Lanta juga ialah di pekan Saladan sahaja ada 3 buah kedai 7e yang aku nampak. Sedangkan kawasan pekannya kecil sahaja dan boleh pusing dengan berjalan kaki. Kenapa ya ada banyak 7e??. Itu tidak termasuk lagi sepanjang perjalanan dari dari Pekan Saladan hingga ke Khlong Nin di hotel kami menginap. Sebenarnya bukan sahaja di Koh Lanta, tetapi sepanjang perjalanan dari Wang Prachan sehingga ke Krabi dan kemudian ke Koh Lanta, wujud banyak kedai 7e. Hari terakhir di Koh Lanta baru aku perasan sesuatu. Sepanjang aku di sana, aku dapati tidak ada kedai runcit dan minimarket seperti di Malaysia. Jika ada tentu aku perasan. Tapi ni aku tak nampak langsung. Patut la kedai 7e bercambah di sana.

sekitar Pekan Saladan

dengan berjalan kaki sahaja, kita dapat pusing satu pekan ni..ia ibarat kawasan Arked MARA tetapi dalam skala besar


Menarik sebenarnya untuk bercerita tentang Koh Lanta ni. Cukup dahulu untuk bahagian 1 ni. Nak cerita panjang-panjang sangat tak ada mood pulak dah..hehehe..bersambung di entri seterusnya..

Ada satu gambar bukit yang ingin dikongsi. Sangat menarik perhatian aku setiap kali melalui kawasan ini untuk pergi menyelam..Pada aku nampak cantik, menarik dan tertarik..mengapa ya??berfikir sejenak..



Untuk makluman, info sejarah yang aku masukkan adalah hasil bacaan dari FB Srikandi dan Blog Mistisfiles (yang ditulis oleh Srikandi) mengikut pemahaman aku. Jika ada yang tidak betul, mohon la tegur elok-elok ya.

Entri seterusnya di Bahagian 2 nanti:
-          bergaya di pekan Saladan
-          pekan lama Koh Lanta
-          orang Kelantan di Koh Lanta
-          kali pertama memegang joran

-          warung ‘Wardina’

No comments:

Post a Comment