Wednesday, 19 November 2014

Diving Koh Lanta Event Siri 1/2014 Batch 1 Scuba Jeff : Bahagian 1- Koh Lanta dan Sisi Sosialnya

Koh Lanta bukan sekadar menyelam 
Alhamdulillah, bersambung semula untuk entri trip ke Koh Lanta. InsyaAllah, kali ini aku akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman sepanjang 4h3m berada di Koh Lanta.

Apabila tiba sahaja di Koh Lanta Yai, kami terus menghala ke Khlong Nin di mana terletaknya Pada Hotel tempat kami menginap sepanjang di Koh Lanta. Jarak ke Khlong Nin dari pekan Saladan adalah kira-kira 12km. Sepanjang perjalanan dari jeti, melalui pinggir pekan Saladan sehingga ke hotel, suasananya tidak ubah seperti Langkawi. Pekan Saladan ibarat pekan Kuah di Langkawi yang mana ia menjadi pusat bandar bagi Koh Lanta. Sepanjang perjalanan dari pekan Saladan hingga ke hotel, kiri kanannya diselang-seli dengan pelbagai kedai makan, kedai tempahan baju (siap dalam masa 24 jam), kedai menjual kain baju, dan hotel-hotel bajet sehingga ke resort-resort mewah.
Sampai sahaja di hotel, kami terus check-in. Aku satu bilik dengan Hapes. Azni pula sebilik dengan Pucuk. Hotel ni dimiliki oleh seorang pedagang Arab-Mesir. Ayat pedagang tu..haha..macam zaman dulu-dulu pulak!!seorang yang baik dan sangat bertoleransi. Mungkin sudah lama berada di dalam lingkungan orang-orang Melayu dan Siam yang lebih banyak berlembut dan bertolak ansur. Keadaan hotelnya sangat selesa dan biliknya luas. Yang penting, aroma di dalam bilik termasuk bilik air diharumkan dengan aroma yang sangat menyenangkan. Aroma Arab!!!Berbaloi-baloi untuk untuk tinggal di sini. Kedai 7e dekat, masjid pun di sebelah hotel sahaja, & kemudahan akses kepada gerai-gerai Melayu juga dekat dan mudah.


Mungkin ada keliru, kenapa dipanggil Melayu. Kenapa tidak dipanggil Siam. Yang perlu kita tahu ialah, sebelum ada orang-orang Siam di Segenting Kra, telah wujud orang Melayu di kawasan tersebut sejak beribu-ribu tahun dahulu. Mereka telah menubuhkan kota-kota kerajaan Melayu di Segenting Kra yang kini sangat-sangat dijaga dan dilindungi tetapi digelap dan disembunyikan oleh Kerajaan Thailand.  Mereka beragama Islam,  yang mana sebahagiannya kekal beragama Islam sehingga hari ini. Bezanya kini, orang-orang Melayu di Koh Lanta sudah kurang/tidak lagi fasih berbahasa Melayu seperti saudara-saudara mereka di Pattani. Proses menThailandkan orang-orang Melayu dan Siam berlaku dengan pesat di seluruh kawasan Segenting Kra yang kini telah menjadi milik Thailand terutamanya selepas Perjanjian Bangkok 1909 antara Raja Thailand dan pihak British yang sangat berat sebelah kerana tidak melibatkan raja-raja Melayu. Hasilnya, walaupun mereka masih mengamalkan adat-adat Melayu, mereka tidak lagi pandai berbahasa Melayu. Majoriti mereka hanya pandai berbahasa Siam, Thai & English sahaja. Namun yang pasti, mereka tetap beragama Islam dan masih mengamalkan ajaran-ajaran Islam.  

Yang dipanggil orang Siam pula ialah mereka yang mempunyai keturunan campuran antara Mon, Khmer, Thai & juga Melayu. Dan bahasa mereka juga bahasa cedokan dari bahasa-bahasa 4 bangsa tersebut. Kebanyakan mereka beragama Buddha. Orang Siam juga telah lama menetap di Segenting Kra sebelum orang-orang Thai. Terdapat pertalian keturunan yang erat antara orang Siam dan orang Melayu. Ada juga yang beragama Islam. Ini terbukti apabila kami bersembang seorang pak cik Melayu yang menjadi tuan tanah kepada dua (2) pintu kedai yang disewakannya kepada peniaga. Dah tak ingat apa nama dia. Berasal dari Satun, dan telah menetap di Koh Lanta selama 32 tahun. Pak Cik tu bagitau ada juga peniaga Siam di sini masuk Melayu (maksudnya masuk Islam). Mereka berbahasa Siam, yang mana bahasa mereka juga tidak difahami dengan baik oleh Wanchalerm Pao (dia ni antara top 5 underwater photographer terbaik di Thailand). Ibarat orang Rantau Panjang, Kelantan bercakap dengan orang Bota, Perak..haa..macam tu la..korang bayangkan lah ye..

Yang menariknya, baik orang Melayu atau Siam di Koh Lanta, mereka masing-masing menggantung gambar raja mereka iaitu Raja Bhumibol Adulyadej. Menggambarkan betapa setianya mereka kepada Raja Thailand tersebut. Ketika menulis entri ini, tiba-tiba teringat bagaimanakah keadaannya orang-orang Melayu di Segenting Kra ini jika sekiranya raja-raja Melayu dahulu saling tidak bermusuhan, dan bersatu. Jika dahulu Singgora tidak menyerang Pattani hanya kerana untuk menunjukkan keegoaan dan kejaguhannya, Singgora hampir pasti tidak jatuh ke tangan kerajaan Ayutthaya (kerajaan orang Thai). Melayu bersama agama dan bahasanya masihi kekal milik orang Melayu. Sepatutnya kerajaan-kerajaan Melayu di Segenting Kra seperti Ligor, Singgora, dan Pattani bersatu menghadapi serangan Thai Ayutthaya dengan bantuan Kedah. Tapi malangnya, sesama mereka sahaja saling menunjukkan kuat, tetapi, Singgora tewas juga apabila diserang Raja Narai dari Kerajaan Thai Ayutthaya tanpa mendapat bantuan dari mana-mana kerajaan Melayu. Paling sadis, selepas itu, Ligor dan Singgora menjadi kambinghitam kerajaan Ayutthaya bersama-sama Inggeris dan Belanda menyerang dan menjarah kerajaan Pattani dan disambung oleh Era Chakri. Sebenarnya era pendudukan orang-orang Thai di Segenting Kra bermula lagi pada era Kerajaan Sukhotai, dan makin bercambah bila tiba era Kerajaan Ayutthaya dan seterusnya Era Dinasti Chakri sehingga ke hari ini.

 sempadan sebenar Semenanjung TanahMelayu sebelum pendudukan orang-orang Thai.
Orang Siam turut mendiami di kawasan Segenting Kra lama lagi dari orang-orang Thai.
(Sumber Gambar: Blog sejagatraya.com)

perhatikan "Malay Cape" Batu Sempadan sebenar Semenanjung Tanah Melayu yang memisahkan antara negeri orang-orang Thai dan Melayu (Sumber: Blog sejagatraya.com)

Opss..terkeluar pulak topik kisah Koh Lanta...cerita sejarah ibarat candu pada aku!!hehe..namun itulah secebis dari 1001 kisah sejarah mengenai Segenting Kra yang mana peristiwa-peristiwa tersebut membawa kepada perubahan geopolitik Asean pada hari ini, khususnya melibatkan Malaysia dan Thailand, termasuk orang-orang Melayu di Thailand dan Malaysia. Menurut pak cik tadi juga, hanya orang-orang Siam danThai sahaja  yang memanggil orang Melayu sebagai Malai. Manakala orang-orang Melayu di Koh Lanta dan kebanyakan tempat di Segenting Kra, masih ada yang memanggil orang Melayu sebagai Melayu. Boleh nampak perbezaannya di situ dari segi bahasa.

Berbalik kepada kisah pak cik tadi, beliau mempunyai 2 unit kedai yang disewakan kepada peniaga dengan kadar RM4,500.00 sebulan setiap kedai. Isteri beliau juga turut meniaga ayam panggang yang menjadi kegilaan aku sepanjang di Koh Lanta. Itu belum lagi termasuk sawah padi yang luasnya kira-kiranya 100 relung!!!. Yang menariknya, penampilan pak cik tersebut biasa-biasa sahaja. Dengan berbaju kemeja, berkain pelikat di angkat hingga ke paras lutut, berselipar jepun dengan rokok daunnya, sambil bersahaja menceritakan bahawa kebanyakan orang-orang di Koh Lanta yang berniaga sememangnya punya banyak duit dan aset hartanah. Cuma penampilan dan rumahnya apabila ditengok, biasa-biasa sahaja. Tidak banyak rumah-rumah banglo. Cukup sekadar untuk berteduh dan sara hidup anak beranak. Memang hebat la pak cik!!!Bangga juga melihat orang Melayu punya aset walau di negeri orang.

kalau dah kaki makan, pada aku, ayam panggang ni memang berhantu!!bak kata Jeff
"kulit ayam panggang dia memang jahat!!!""

gambar pakcik tu lupa nak snap..tapi inilah family dia yang meniaga ayam panggang berhantu dan sangat jahat sekali!!!hehe

Yang menarik di Koh Lanta juga ialah di pekan Saladan sahaja ada 3 buah kedai 7e yang aku nampak. Sedangkan kawasan pekannya kecil sahaja dan boleh pusing dengan berjalan kaki. Kenapa ya ada banyak 7e??. Itu tidak termasuk lagi sepanjang perjalanan dari dari Pekan Saladan hingga ke Khlong Nin di hotel kami menginap. Sebenarnya bukan sahaja di Koh Lanta, tetapi sepanjang perjalanan dari Wang Prachan sehingga ke Krabi dan kemudian ke Koh Lanta, wujud banyak kedai 7e. Hari terakhir di Koh Lanta baru aku perasan sesuatu. Sepanjang aku di sana, aku dapati tidak ada kedai runcit dan minimarket seperti di Malaysia. Jika ada tentu aku perasan. Tapi ni aku tak nampak langsung. Patut la kedai 7e bercambah di sana.

sekitar Pekan Saladan

dengan berjalan kaki sahaja, kita dapat pusing satu pekan ni..ia ibarat kawasan Arked MARA tetapi dalam skala besar


Menarik sebenarnya untuk bercerita tentang Koh Lanta ni. Cukup dahulu untuk bahagian 1 ni. Nak cerita panjang-panjang sangat tak ada mood pulak dah..hehehe..bersambung di entri seterusnya..

Ada satu gambar bukit yang ingin dikongsi. Sangat menarik perhatian aku setiap kali melalui kawasan ini untuk pergi menyelam..Pada aku nampak cantik, menarik dan tertarik..mengapa ya??berfikir sejenak..



Untuk makluman, info sejarah yang aku masukkan adalah hasil bacaan dari FB Srikandi dan Blog Mistisfiles (yang ditulis oleh Srikandi) mengikut pemahaman aku. Jika ada yang tidak betul, mohon la tegur elok-elok ya.

Entri seterusnya di Bahagian 2 nanti:
-          bergaya di pekan Saladan
-          pekan lama Koh Lanta
-          orang Kelantan di Koh Lanta
-          kali pertama memegang joran

-          warung ‘Wardina’

Wednesday, 12 November 2014

Diving Koh Lanta Event Siri 1/2014 Batch 1 Scuba Jeff : Perjalanan Krabi-Koh Lanta

Bersambung semula dari entri pertama berkenaan Diving Koh Lanta Event Siri 1/2014 Batch 1 Scuba Jeff : Perjalanan ke Krabi, kami meneruskan perjalanan ke Koh Lanta pada 7hb Nov 2014, jam 8.00 pagi dari Green House Hotel, Krabi. Kami ke Lapangan Terbang Krabi untuk bersarapan dan sambil menunggu guest Jeff tiba. Ada sebuah kiosk di hadapan lapangan tersebut yang menyediakan makanan halal untuk orang Islam. Nasi kuning, ayam goreng & sos. Caranya ialah tanya dahulu penjual berkenaan ada atau tidak makanan halal. Dia peramahnya dia akan tunjuk yang mana satu halal, dan yang mana satu tidak halal. Jangan bimbang kerana semua makanan berbungkus dalam polisterin dan tidak menggunakan pinggan. Makanan yang kami makan diambil dari pembekal Muslim yang memang tersedia untuk dijual khusus untuk orang Islam kerana dia tahu banyak orang Malaysia dan Arab yang ke Krabi.

 geng2 kami memang pantang nampak lens, apatah lagi kalo lens Scuba Jeff..hehe..bergambar dgn Jeff di lapangan terbang sementara menunggu tetamu dari KL sampai..aku la tukang snap

Dah selesai mengisi perut dan tetamu yang lain dah sampai, kami teruskan perjalanan ke Koh Lanta. Perjalanannya sangat mudah, ikut sahaja singboard Koh Lanta dari lapangan terbang Krabi sehinggalah sampai ke Pimalai Jetty, Koh Khlang. Di kiri kanan kawasan Koh Khlang terdapat banyak rumah orang-orang Melayu-Siam.Terasa seperti perjalanan di Malaysia sahaja. Bezanya hanya bahasa iaitu Bahasa Siam. Sampai sahaj di jeti, kami membayar tambang jeti. Jangan terkejut kerana yang kami sangkakan feri Penang tapi sebenarnya ia adalah tongkang (barge) yang digunakan oleh pelancong dan penduduk-penduduk Koh Lanta untuk berulang-alik ke tanah besar. 

Untuk perjalanan ke Koh Lanta, kita perlu menaiki dua buah feri. Perjalanan pertama ialah ke Koh Lanta Noi, dan seterusnya menaiki feri ke-2 ke pekan Saladan, Koh Lanta Yai. Pekan Saladan ni ibarat Kg. Tekek di Tioman dan Kuah di Langkawi

100 THB (RM10.00) untuk sebuah kenderaan beserta seorang pemandu dan di bawah ialah tambahan penumpang 20THB seorang (RM2.00). Jadi jumlahnya ialah 160THB shj..sangat murah..dan INGAT!!simpan tiket ke-2 yang tidak dikoyakkan kerana ia akan digunakan untuk perjalanan ke Jeti di Koh Lanta Yai (ke Pekan Saladan). Ini kerana, kawasan Koh Lanta Yai (Pekan Saladan) merupakan destinasi utama pelancong dan semua resort tertumpu hanya di Koh Lanta Yai. 


ringkasan perjalanan Krabi-Koh Khlang (ikut signboard Koh Lanta)-Koh Lanta Noi (naik barge)-Koh Lanta Yai (Saladan:naik bagrge kedua)
dari jeti di Koh Lanta Noi nak ke jeti seterusnya perjalanan dengan kereta mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja.

dah beli tiket, kena lah beratur kejap..ada 2 buah feri beroperasi pada satu-satu masa...mula beroperasi pada jam 6.00 pagi sehingga malam (tak ingat sampai jam berapa) 

kereta, lori, van pelancong, motorsikal dan penumpang semuanya menggunakan barge ini. So, tidak timbullah isu naik tongkang pergi diving. Seolah-olah menggambarkan yang negatif sahaja sedangkan memang ini pengangkutan utama penduduk Koh Lanta ke tanah besar dan juga digunakan oleh pelancong. Memang sempoi barge dia ni..perjalanan mengambil masa kira-kira 10 minit ke Koh Lanta Noi..dan kira-kira 10 minit ke Koh Lanta Yai (Saladan)




Akhirnya tiba juga di Koh Lanta Yai dan terus menuju ke Pada Hotel. Seingat aku ucapan ni di Koh Lanta Yai la. Di Koh Lanta Noi tak ada. Kalau salah tegur2 la ya. 

Ok..dah mengantok ,sambung ke entri seterusnya apabila aku ada masa dan mood..hehe



Diving Koh Lanta Event Siri 1/2014 Batch 1 Scuba Jeff : Perjalanan ke Krabi

Alhamdulillah, setelah tiga bulan mengesahkan kehadiran ke trip diving anjuran Scuba Jeff di Koh Lanta, 6hb November aku, Hapes, Azni & BangChik telah memulakan perjalanan ke Koh Lanta pada jam kira-kira 5.45 petang dari Mata Ayer ke Wang Kelian.

Setelah dibuat survey melalui blog-blog dan google map, ternyata perjalanan dari Wang Kelian menuju ke Koh Lanta adalah lebih dekat dan mudah serta dapat menjimatkan minyak petrol. Almaklum, walaupun kami berkongsi kereta Azni, tetapi dengan harga petrol RON95 di Thailand mencecah hampir RM4, kami merasakan ia terlalu mahal dan tak berbaloi. So dan kami mengisi minyak penuh di Petronas Mata Ayer dan kami standby satu tong petrol 25liter jika ada kecemasan.

Dalam keadaan sedikit terkejar-kejar, sempat tiba di Pos Imigresen Wang Kelian kira-kira jam 6.35 petang. Kalau bawa secara santai, rasanya tak sempat nak masuk sebab Pos Imigresen di Wang Kelian (Malaysia) dan Pos Imigresen Khuan Don, Wang Prachan (Thailand) masing-masing tutup jam 7 petang (waktu MAS) dan  6 petang (waktu THAI).

Buat yang nak masuk ke Thailand dengan kenderaan sendiri, bolehlah buat insurans kereta di mana-mana kawasan Changlun atau Bukit Kayu Hitam. Aku pilih untuk membuat insurans di sebuah kedai bertentang C-Mart Changlun. Kedai tu di sebelah kiri lampu isyarat jalan utama menghala ke utara sebaris dengan Maybank. 9 hari bersamaan RM14.00 dan boleh juga tukar siap-siap wang THB di situ. Sangat mudah kerana boleh guna wassup. Minta rakan anda wassup geran kereta, no kad pengenalan dia dan passport pada anda dan isikan info berkenaan apabila diminta. sesetengah kedai dia nk mintak jugak salinan geran, tapi kedai yang aku pergi ni tak perlu. Aku buatkan untuk member aku ni sebab masa tu dia masih dalam perjalanan di Ipoh. Takut kalut tak sempat, aku minta dia wassupkan info-info tadi dan buatkan untuk dia.

sempat juga tiba di Pos Imigresen Khuan Don, Wang Prachan, Thailand sebelum jam 6.00 ptg Thai

Memandangkan tiada pun seorang dari kami yang biasa masuk Thai dengan kenderaan sendiri, maka jangan kedekut dan malu-malu untuk download GPS di telefon bijak anda. Aku download Sygic GPS, kemudian download peta Malaysia dan Thailand. Alhamdulillah, dengan izin Allah, mengunakan GPS berkenaan, kami selamat tiba dan balik semula ke Malaysia. Ikut sahaja arahtuju GPS tersebut. Yang paling penting perjalanan dari Wang Prachan perlu menghala ke pinggir jalan pekan Trang dan seterusnya ke Krabi. Anda akan lihat signboard ke Krabi, tetapi GPS tidak menunjukkan sedemikian??tidak mengapa kerana di pingir jalan Trang ada banyak jalan yang boleh menghala ke Krabi.  So, tak perlu risau. Ikut sahaja GPS Sygic tu atau dia akan recalculate semula route anda jika anda tetap ingin mengikut signboard tu. Yang menarik tentang Sygic ini ialah ia boleh beroperasi tanpa data. Tidak perlu talian internet.

Jika bertolak malam seperti kami, pastikan anda singgah ke pekan Satun untuk isi perut siap-siap dan bungkus la makanan jika rasa hendak makan untuk elak kelaparan. Kerana selepas pekan Satun, makanan halalnya sangat-sangat sukar hendak dicari terutamanya apabila telah malam. Di Satun, ramai yang beragama Islam dan menyediakan makanan halal serta boleh berbahasa Melayu dan Inggeris.

Sepanjang perjalanan ke Krabi memang menarik kerana sukar untuk melihat jalan2nya ada lopak dan tidak rata. Malah tiada juga jalan yang diturap separuh2 melainkan yang sedang dalam pembinaan. Kebetulan pula sewaktu kami masuk, ada Festival Loy Khratong. Kiri kanan jalan di pekan-pekan yang kami lalui sangat meriah dengan cahaya-cahaya tanglung. Niat di hati nak berhenti, namun memandangkan Jeff sudah menunggu di Krabi, kami meneruskan perjalanan.

mana nak cari air redbull satu ringgit kan di malaysia??di thailand masih rm1 (10 THB)
kilangnya pun kat sana kalau tak salah.

Pelan asalnya adalah untuk terus ke Pimalai Jetty, Koh Khlang, namun, setelah Jeff menyatakan tiada apa-apa di sana, kami terus ke Krabi. Lajak kira-kira 60km ke utara dan check in di Green House Hotel, Krabi.
 berhenti seketika di gerbang Krabi

disambut olej Jeff di depan Green House Hotel. Dia memang dah ada di hotel awal pagi lagi untuk siap sedia menyambut guest lain di lapangan terbang Krabi keesokan paginya. Kami tiba di hotel sekitar jam 11.30 malam waktu Thai.
  
check in untuk satu malam...meluruskan badan-badan yang sengal di Green House Hotel Krabi.
satu malam 800 THB (80 hengget) ok la..kongsi2 la nak jimat...

dah sampai lewat malam di Krabi, ini sahaja warung halal yang masih dibuka yang berdekatan dengan hotel. 

roti canai cicah susu...manis sgt..tiap2 hari telan, mau potong kaki woo
tapi roti dia sedap dari sstgh kedai mamak..kalau ada kuah kari daging ni..perhhh!!!

kedai halal tu jalan kira 300 meter ke belakang hotel dan berhadapan kedai motor Honda


Tidur kira-kira jam 1.30 pagi kerana keesokannya akan ke Koh Lanta, destinasi utama kami jam 8.00 pagi waktu Thai. Bersambung pada entri seterusnya.