Saturday, 27 June 2020

Membebel Pasal Kereta dan Servis Proton Preve 100,000km

Kali ni aku just nak share servis proton preve aku untuk 100,000km. Aku ni jenis servis kereta ikut kilometer, tak ikut sangat 6 bulan. Pernah sampai 10 bulan😂. So, ikut la cara penggunaan dan pemanduan masing².

Aku share ni pun sebab kereta dah lebih usia 5 tahun dan kemungkinan pelbagai ragam akan timbul. Senang untuk tengok balik dan mungkin boleh share dengan yang lain. So far, alhamdulillah, tak ada masalah yang teruk² kat kereta aku.

Preve aku pakai dari tahun 2014. IAFM Campro & manual transmission. Takde la berjalan jauh sangat sebab aku banyak travel naik ETS, flight atau kongsi² naik kereta member. Sebab tu 6 tahun pakai, baru 100,000km.

Biasanya aku servis kat center yang pada aku reliable setelah mendapat review dan feedback member2, dan pengguna lain. Masa tinggal di Perlis, aku servis kat Proton Edar Jalan Gangsa, Alor Setar. Now tinggal di Seri Iskandar, servis kat Proton Edar Seri Iskandar kat Bandar Universiti sebab aku rasa macam malas nak ke Ipoh or Manjung. Since yang kat Seri Iskandar sedang tutup (nak buat bangunan baru tepi jalan ipoh-lumut berdekatan econsave), rasanya perlu ke Manjung. Tapi alang² balik Taiping aku servis kat Taiping dan di bengkel luar.

Yang buat rasa nak servis kat luar ni sebenarnya bermula bila ada bunyi bising dari dalam bonet enjin sejak bulan 2 tahun ni. Aku google tengok, bunyi tu berpunca dari IAFM. Bunyi 'tek tek tek tek' bila enjin sedang idling. Bila buka aircond, radio, dengan tingkap bertutup, masih kedengaran sikit. Lagi tak selesa Masa jalan memang tak dengar la.

Aku pergi 3 bengkel. Ada yang tak sure, ada yang kata kena tinggal dulu biar kami check. Tepuk dahi aku. May be diaorg tak biasa buat kot. Tangguh punya tangguh, PKP pulak. Awal bulan 6, balik Taiping, bapa aku suggest pi kat Dhia Service Centre. Bengkel dekat dengan Masjid Kamunting.

Sampai bengkel, mintak tauke dia check. Tauke dia nama Fendi. Dia amik spanar buh kat enjin sambil letak telinga kat spanar. Terus dia cakap bunyi IAFM & kena tukar. Deal. Tukar seketul IAFM RM350/RM380 (tak ingat sangat) & upah RM150. Since aku jenis tak suka sangat tinggal kereta, 4 jam setengah jugak aku melangut kat bengkel tu sambil perati pekerja dia buat keje. Yang buat aku puas hati, pekerja dia buat kerja cermat dan Fendi tu pulak dia jenis bagitau apa yang perlu tukar dan apa yang tak perlu tukar sambil sembang² pasal kereta. Kita ni mana la nak tau semua sangat pasal kereta. Memang harap ke mekanik la. So, lepas tukar IAFM kat dia hampir sebulan, belum ada bunyi lagi.






Time nak bayar, aku tanya boleh buat servis major untuk preve, dia cakap boleh. Terus booking tarikh minggu yang aku akan balik Taiping. 

Untuk servis 100,000km, aku guna je yang sama macam aku servis kat proton center sebelum ni.

Minyak Enjin Petronas Syntium 5W-40 Fully Synthetic

Minyak Gear 2L 2 botol


Aku tukar brake pad sebab bila dia buka tayar, brake pad depan kiri kanan aku dah nipis. Memang dah nipis pun memandangkan cara pemanduan aku 🤣. Lupa pulak snap.




Damage


Aku sangat berpuas hati cara diaorang bekerja. Kalau nak datang servis or repair hari Sabtu, better booking dengan dia dulu sebab memang akan beratur punya. Aku ni jenis payah nak suggest satu² benda, tapi  yang belum pernah datang sini, aku suggest, cubalah dulu repair or servis kat  Dhia Service Centre ni. Tunggu & tengok bagaimana brader Fendi & staf dia buat keje.





Monday, 6 April 2020

Ulasan Buku "Jangan Selewengkan Sejarah Melayu"

Apa itu Inferiority Complex? Secara literalnya ia bermaksud "rasa rendah diri". Dalam konteks sejarah pula ia bermaksud seseorang yang mempunyai rasa rendah diri, dan malu kepada apa-apa perkara berkaitan bangsanya sendiri sehingga boleh membawa kepada sindrom penafian (denial syndrome) dan paling kritikal ialah perasaan benci kepada kaum sendiri (racial hatred).

Ini terjadi kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah bangsa  dan dimomokkan dengan istilah-istilah dan konteks negatif serta penghinaan yang dikemukakan oleh  pihak lain terhadap bangsa sendiri. Semua ini sebenarnya dapat diatasi dengan MEMBACA dan MENONTON dokumentari sejarah bangsa sendiri!! 



Jadi, apa kaitan Inferiority Complex dengan entri kali ini? Nanti aku akan jelaskan. Untuk sesi ulasan buku, kali ini aku ketengahkan buku yang bertajuk JANGAN SELEWENGKAN SEJARAH MELAYU, yang ditulis oleh saudara Helmi Effendy yang juga merupakan  salah seorang admin laman muka buku The Patriots. Buku ni aku beli pada 12 Jun 2019 dan dah lama aku habiskan sebenarnya. Tapi yang menjadi pencetus aku membuat ulasan untuk buku ini adalah kerana manusia  bernama Tan Sri Dato Dr Hj Mujeebudeen (akaun Twitter). Nantilah aku kupas isu manusia yang seorang ni.  

Berbalik kepada ulasan buku.

Di dalam buku ini penulis dengan tegas menyanggah pendapat dan fakta yang tidak sahih dari pihak-pihak yang cuba memesongkan sejarah Melayu. Ada beberapa 'personaliti' telah mengemukakan fakta yang tidak betul dan serius seperti saudara Uthaya Sankar melalui bukunya yang bertajuk Malaiur Manikam yang mendakwa Bahasa Melayu berevolusi dari bahasa pasar (perdagangan) sebelum ia menjadi lingua franca. Beliau menjelaskan terdapat banyak kosa kata hasil komunikasi antara pedagang dari pelbagai negara, bahasa dan budaya yang kemudiannya menjadi kosa kata khusus yang difahami oleh orang-orang Melayu dan pedagang di Melaka.



Penulis menjawab tohmahan Uthaya Sankar dengan mengeluarkan bukti Bahasa Melayu sebagai sebahagian dari keluarga besar bahasa Austronesia. Kemudiannya penulis mengemukakan fakta yang menyatakan: 

1) Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa (Francois Valentijn):

2) Peranan Maharaja Ming Cheng Zhu (Dinasti Ming) memasukkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diajar kepada Jurubahasa China ketika menubuhkan Balai Bahasa Negeri-Negeri Asing pada tahun  1405 di Ying Tian (kini Nanjing). 

3) Prasasti Dong Chen Yau (abad ke-4 Masihi), Prasasti Kedukan Bukit (683M), Prasasti Talang Tuwo (684M), Prasasti Kota Kapor (686M), Prasasti Karang Brahi (686M). Kesemua prasasti ini dipahat dalam Bahasa Melayu kuno.

Jelas di sini bahawa penulis mempunyai ilmu dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang sejarah dalam mematahkan hujah saudara Uthaya Sankar.  



Apa yang malangnya ialah, perlecehan terhadap sejarah Melayu bukan sahaja cuba dilakukan oleh bangsa asing, tetapi juga oleh orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang sejarah bangsa, merasa rendah diri atau malu tidak bertempat dengan bangsa sendiri serta berpura-pura tidak ambil tahu kerana ada agenda peribadi. Manusia-manusia seperti ini di dalam diri mereka ada sifat Inferiority Complex sehingga sanggup menafi dan memutar-belitkan fakta-fakta dan seterusnya menyemarakkan lagi sifat penafian dan kebencian terhadap bangsa dan sejarah sendiri  apatahlagi jika mereka seorang yang berpengaruh.

Melalui buku ini juga penulis memperbetulkan salah anggap yang wujud dalam sebahagian masyarakat kita berkaitan sesetengah budaya Melayu yang dianggap tabu seperti menabur bunga di kuburan yang dikatakan meniru amalan Yahudi dan Kristian serta persandingan ketika kenduri  yang dimomokkan sebagai sebahagian daripada ajaran Hindu. 

Pada aku, kedua-dua perkara ini jika hendak dilaksanakan adalah bergantung kepada niat dan kaedah pelaksanaannya. Jika persandingan pengantin sehingga mendedah aurat dan membuka aib, maka tiadalah keperluan untuk bersanding atau yang harus dijaga itu sebenarnya adalah aurat dan aib. Bukannya meremehkan adat bersanding itu. Jika menabur bunga di atas kubur dengan tujuan menggantikan pelepah kurma dan bukan untuk membazir, maka tiada masalah untuk dilaksanakan.

Kelantangan penulis mengkritik sesetengah agamawan mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi ia perlu dilakukan apabila ada antara mereka sesuka hati dan mudah menjatuhkan hukum ke atas budaya bangsa yang tidak menyerupai budaya Arab. Ada sesetengahnya juga tidak betul dan boleh membawa kepada fitnah. 

Penulis juga mengkritik mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib yang mendakwa Melaka tewas kerana menggunakan pedang dan keris sahaja. Tidak ketinggalan, turut ditegur adalah Ustaz Ridhuan Tee Abdullah yang mengeluarkan kenyataan "Tanpa dakwah Cina, Melayu mungkin sembah pokok" ketika beliau mempersoalkan layanan yang diberikan kepada golongan mualaf.



Dari Uthaya Shankar dan Jayagopal Adaikkalam, kepada Amzarul Yuzrin Mohd Yusof, Zaharin Mohd Yasin dan PoyoMelayu (aku syak akaun FB palsu) sehinggalah kepada pendakwah terkenal Ustaz Ridhuan Tee Abdullah dan mantan Perdana Menteri, kesemua mereka dikritik penulis berbekalkan fakta-fakta yang disokong hasil kajian pakar-pakar sejarah. 

Keseluruhannya buku yang mempunyai 22 bab dan setebal 213 muka surat ini mampu menjawab segala penyelewengan, putar belit dan pemalsuan fakta yang cuba dibawa oleh mereka-mereka yang mengatakan Melayu tidak punya bahasa, sastera, teknologi dan tamadun. 


















   

Thursday, 2 April 2020

Ulasan Buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka

"Patut la Tom Pires cakap siapa yang menguasai Melaka, dia akan memegang leher Venice". Itu ayat yang terpacul secara automatik dari mulut aku semasa membaca buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka yang ditulis oleh Farahana Shuhaimi. Buku yang dibeli pada 12 Jun 2019.



Buku ini sangat mudah untuk difahami fakta-faktanya kerana penulis telah memecahkan mengikut tajuk-tajuk berikut:

1) Kota Melaka dan Penduduk (geografi dan struktur bangunan di Melaka)
2) Waris dan Pewaris Melaka (sehingga kejatuhan Melaka)
3) Pembesar dan Wilayah Melaka (struktur pentadbiran Melaka)
4) Melaka dan Ekonomi (Melaka sebagai pusat perdagangan)
6) Melaka dan Peperangan (strategi, kelengkapan perang dan pengkhianatan)
7) Melaka dan Pengangkutan (laut dan darat)
8) Melaka dan Permainan (permainan tradisional)
9) Melaka dan Rasuah (monopoli perniagaan, fitnah dan sikap tamak pegawai)
10) Melaka dan Cinta (perkahwinan raja-raja Melaka)
11) Melaka dan Undang-Undang (hukum kanun Melaka dan undang-undang laut Melaka)
12) Melaka dan Islam (ketibaan dan penyebaran Islam di Melaka)

Pada setiap tajuk, ada banyak sub-topik yang memfokuskan kepada fakta-fakta berkaitan Melaka sama ada sebelum, semasa ataupun selepas zaman kegemilangannya.

Tidak ramai mengetahui bahawa Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mampu membina tamadun kota yang hebat di zamannya. Aku sendiri walaupun sangat meminati sejarah, masih banyak persoalan mengenai Melaka terutamanya bagaimana keadaan sebenar Melaka pada zaman kegemilangannya dan sebelum kejatuhannya.

Dalam buku ini, penulis membentangkan fakta-fakta menarik yang belum pernah aku tahu. Sebagai contoh, di bawah tajuk Melaka dan Peperangan yang mempunyai sub-topik paling banyak dalam buku ini menyatakan Melaka ada pasukan penembak tepat!!wow!!serius la!!!?? aku tidak tahu menahu tentang skuad ini. Dikatakan bahawa pasukan penembak tepat ini berjaya melakukan tembakan tanpa dapat dikesan oleh askar-askar Portugis walaupun dalam keadaan cuaca yang baik dan panas terik. Ini menarik!!

Fakta-fakta yang dilampirkan di dalam buku ini juga mampu menangkis kenyataan pihak-pihak yang menyatakan bahawa Melaka pada ketika dahulu hanya sekadar kota pelabuhan kampung. Perlu diingatkan, setiap tamadun mempunyai garismasa untuk mencapai zaman emasnya. Tamadun tidak dibina dalam sehari, setahun hatta seratus tahun. Venice dahulu yang terbentuk dari 118 pulau berlumpur, mengambil masa selama lebih 500 tahun untuk mencapai puncak kegemilangan sebagai pusat perdagangan terkemuka di Eropah dengan pelbagai inovasi pembentukan kota dan pelabuhan di atas air.

Ya, Melaka mungkin bermula sebagai sebuah pelabuhan kampung, tetapi adalah mustahil sultan-sultan Melaka terus menerus membiarkan ia kekal sebagai pelabuhan kampung. Sebagai pewaris Srivijaya yang pernah menjadi kuasa agung maritim di sebahagian rantau Asia Pasifik, sudah pasti mereka mempunyai ilmu laut, politik dan geo-politik serta pengurusan dan pentadbiran yang bukan calang-calang dimiliki orang biasa ketika itu untuk membangunkan Kota Melaka.

Bayangkan, penulis menyatakan Kesultanan Melaka memiliki sekurang-kurangnya enam (6) buah kapal iaitu Kapal Mendam Berahi, Kapal Genta Segara, Kapal Sai'rul 'Alamin, Kapal Mir'atul-saffa, Kapal Batil Suasa dan Kapal Ranjang Bagung. Ini belum termasuk kapal-kapal untuk berdagang yang mana dinyatakan lapan (8) buah kapal Melaka mampu membawa muatan yang dibawa oleh 20 kapal Portugis!!!  Itu belum lagi aku lampirkan dalam satu catatan bahawa kapal dagang Melaka tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan China hanya kerana saiznya yang besar dan perlu berurusan di tengah laut!! Tidakkah itu menunjukkan teknologi perkapalan Melaka sebenarnya telah mencapai pada satu tahap yang canggih.

Sambil membaca buku ini, aku terfikir seandainya Melaka tidak tumbang, dan mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama lagi sekurang-kurangnya sehingga abad ke-18 atau 19, sudah pasti pelbagai ilmu perdagangan, pelabuhan, ekonomi, teknologi dan pelbagai lagi mampu untuk berkembang lebih maju kerana jarak waktu yang tidak begitu jauh dengan zaman moden.

Namun apakan daya, seperti yang dinukilkan penulis di dalam bukunya antara punca jatuhnya Kota Melaka ialah, kelemahan kepimpinan sultan itu sendiri, konflik politik dan rasuah di kalangan pedagang, pembesar dan pegawai istana, serta wujud pembelot di kalangan rakyat Melaka sendiri, pendatang dari India dan pedagang Cina. Amat menyedihkan apabila penulis menyatakan banyak orang  Melaka dibakar Portugis hidup-hidup di Bukit Tempurung dan wanita Melaka dimurtadkan.

Banyak pengajaran boleh diambil dari buku ini. Seseorang yang aku admire ada mesej di whatsapp mengatakan bahawa ada pelajarnya berkata pada dia "barang lama jangan dikenang". Aku balas semula, "wajar dikenang, dihargai dan diambil pengajaran"😉. Ya!! sejarah wajar dikenang, dihargai dan diangkat supaya ia jadi cerminan untuk generasi kita dan akan datang supaya tidak melakukan kesilapan yang sama yang pernah nenek moyang kita lakukan. Biarlah semangat sejarah itu tetap mengalir di dalam diri kita bagi memastikan jatidiri kita tetap utuh.












Saturday, 28 March 2020

Bersenam Semasa Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sebenarnya lepas Langkawi Ultra 2020 pada penghujung Februari, hanya dua kali je joging sebab plan memang nak berehat sebentar dalam 2 minggu dalam bulan Mac.

Tapi dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, telah memaksa kerajaan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pada dasarnya ialah untuk meminimumkan pergerakan rakyat keluar rumah. Keluar apabila perlu (beli makanan, kecemasan) dan duduk di rumah.

Sebenarnya, ini adalah salah satu cara PALING PENTING bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 yang mudah merebak. Nanti la aku kongsi sikit info yang aku tau. 

Jadi, sekarang nak fokus pada senaman sepanjang PKP. Jujurnya seminggu pertama PKP memang membesarkan perut, tak ada bersenam sangat kecuali skipping dan lari dalam rumah, itu pun pace perlahan je, kerana beranggapan PKP tidak dilanjutkan.

Tapi sangkaan meleset, jadi nak tak nak kena buat senaman yang sedikit agresif iaitu senaman Insanity versi Shaun T. Senaman ni pertama kali buat masa bertugas di UiTM Perlis bersama-sama dengan pensyarah-pensyarah dan staf Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) di studio. Memang mandi peluh buat senaman ni.

So, aku mula dengan empat set pergerakan. Satu pusingan 4 set pergerakan dan setiap set aku buat antara 20 ke 50 kali. Yang aku rakam adalah pada pusingan ke-5, masa dah nak muntah hijau dah sebab aku naikkan sikit-sikit pace pada setiap pusingan. 

Di bawah adalah link video rakaman. Selamat bersenam, stay fit di rumah dan jangan keluar jogging!!






Saturday, 7 March 2020

Jom Masuk UiTM

Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 atas keputusan yang diumumkan pada 5 Mac 2020.

Hari ni aku nak kongsi sedikit maklumat berkaitan kemasukan ke UiTM. Tapi sebelum itu, aku suka mengingatkan semua calon SPM 2019 agar memilih program yang layak untuk dimohon dan minat terhadap bidang yang ingin diceburi nanti.

Kadang, apabila kita minat sesuatu bidang/program, kita tidak perasan satu perkara penting, adakah kita LAYAK atau TIDAK LAYAK memohon program tersebut. Ini antara faktor utama yang akan menentukan sesuatu permohonan itu berjaya atau tidak.

Ok, aku mulakan dahulu dengan halatuju korang sebagai calon SPM 2019 yang dah dapat keputusan. Berdasarkan pengalaman aku, banyak calon yang  bertanya "boleh sambung degree tak?" "nak sambung diploma ke degree?". Jadi, di bawah ialah pilihan tingkat untuk menyambung pelajaran:

1.  Pra Pendidikan Tinggi (PPT)

SPM--> Pra Diploma (6 bulan) --> Diploma (2.5 ke 3 Tahun) --> Sarjana Muda (2 ke 3 Tahun)

Borang PPT boleh diperoleh di pautan berikut:
https://pppt.uitm.edu.my/program/cara-memohon

Khusus untuk mereka yang mendapat keputusan minimum iaitu sekadar kredit dan lulus dalam beberapa subjek SPM. Masih berpeluang mengikuti program di yang diminati di UiTM, tetapi perlu mengikuti program Pra Diploma terlebih dahulu. Jangan pandang rendah pada mereka yang melalui jalan ini. Kebanyakan mereka sangat bersemangat untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik dan itu mendorong mereka berusaha memperbaiki diri. Malah ada antara mereka yang keputusannya semasa di Diploma dan Sarjana Muda lebih baik dari pelajar-pelajar cemerlang SPM. 


2. Asasi

SPM --> Asasi (1 Tahun) --> Sarjana Muda (3 ke 5 Tahun) 

- Asasi Sains
- Asasi Undang-Undang UiTM
- Asasi Undang-Undang KPM
- Asasi Kejuruteraan
- Asasi TESL

Calon SPM yang cemerlang serta berminat untuk menyambung dalam bidang bidang profesional seperti perubatan, pergigian, farmasi, undang undang, kejuruteraan, pendidik digalakkan mengikuti program Asasi selama setahun (dua semester) sebelum menyambung ke program Sarjana Muda yang diminati di UiTM.


3. Diploma

SPM --> Diploma (2.5 ke 3 Tahun) --> Sarjana Muda (2 ke3 Tahun)

Lepas SPM boleh juga sambung ke Diploma. Macam aku dulu Matematik sekadar kredit, manakala Matematik Tambahan gagal 😅, jadi aku pilih jalan ni.


4. Sarjana Muda

SPM --> Sarjana Muda (4 Tahun)

Bagi yang meminati bidang Senibina (Architecture) di UiTM, ini jalan terbaik untuk anda untuk menyambung pengajian ke program Sarjana Muda Sains Senibina UiTM.

Apa yang calon-calon perlu tahu ialah syarat kelayakan masuk bagi setiap program. Untuk membantu memudahkan calon memilih program yang layak, calon bolehlah melayari laman web berikut:


Calon hanya perlu memasukkan beberapa maklumat peribadi dan keputusan SPM, sistem kemudian akan menjana program yang layak dan tidak layak untuk diteliti oleh calon. Kemudian baru lihat program yang mana calon berminat. Membantu calon membuat keputusan untuk memilih program yang layak dan sesuai. 

Untuk membantu calon mengetahui kecenderungan dan minat masing-masing, cubalah jalani Inventori Minat Kerjaya Sidek. Dari situ calon boleh meneroka potensi diri dan minat lain yang mungkin calon sendiri tidak sedar bahawa ia sebenarnya wujud dalam diri calon. Jadi, calon dapat memilih bidang lain yang sesuai dengan potensi dan minat, jika bidang pertama yang calon inginkan tidak layak untuk dimohon.

Inilah serba sedikit maklumat yang boleh dikongsikan untuk calon SPM membuat pilihan progtam ke UiTM. Ingat, setiap program ada syarat-syarat khas dia. Selamat memilih dan semoga terus sukses dalam hidup. 

Monday, 2 March 2020

ETS Kelas Perniagaan (ETS-Business Class)

Entah apa yang difikirkan, tiba-tiba je nak mencuba ETS Kelas Perniagaan (Business Class) dari Arau ke Batu Gajah, walhal 3 jam je pun perjalanan. Jadi, aku ambil keputusan tak nak baca review orang lain, nak buat palatao.. dan nak alami sendiri. ETS je pun.. bukannnya pergi Jepun🙄

Sebenarnya aku ke Langkawi join event Langkawi Ultra 2020 (100km).  Event ni nanti la aku review sikit. Takde mood nak review sekarang. So, masa pergi Arau ambil koc biasa, masa balik ke Batu Gajah gatai tangan klik koc perniagaan.

1) Damage RM127. Sebab beli last minit jugak. KTMB buat harga flexi ala2 Air Asia. Lagi awal, lagi murah kot.

2) Goodies

Business Class Kit ni akan jadi hakmilik kita. Jadi jangan segan letak dalam beg sebelum turun ETS. 

Ada earphone

sarung lengan/inner kalau sejuk boleh pakai. Memang sejuk aircond dia suhu 22°c. Tak sure boleh request blanket or tak, cuba la tanya, untung-untung jadi hakmilik korang, sebab aku tak request. 

Dalam plastik ni bantal yang letak kat tengkuk. Aku tak tau apa nama sebab tak pernah guna sebelum ni. 

tak kembung lagi

kena tiup baru kembung... jangan sampai orang sebelah annoyed dengan hembusan korang. 


tag identiti

letak tag ni kat drop bag larian pun cara gak. 


3. Kemudahan

(abaikan tumit yang dah nak barai tu) 
ini yang dinanti-nantikan. Tempat mengecas. Ada mode USB & 3 pin plug. Sebenarnya untuk mode USB tak perlu pun switch on plug tu, tapi biasa la, buat palatao, bila ter off, baru tau hanya dengan cucuk je, hp tersedia cas. kalau nak guna 3 pin plug je baru switch on. 

kalau bosan, boleh layan movie, lagu, order makanan dan layan internet kat tab ni. Tab ni ada kat tempat letak lengan sebelah kiri. Tarik je keluar dengan tag yang disediakan di bahagian bawah sebelah kiri tu. Butang on/off ada sebelah kanan bawah tempat cucuk earphone tu...
haa..nampak?? semua ni kesan buat palatao

4. Tempat duduk
Aku tak snap sebab rasa macam akan ganggu privasi orang lain bila snap. Apa yang boleh aku katakan, tempat duduk dia luas & selesa untuk aku yang berbadan besar ni. Penat habis event ultra, memang sedap lunjur kaki. Boleh pilih double seat atau single seat bergantung pada keselesaan dan kekosongan. 

5. Makanan
Sebab aku naik jam 3.58 petang, menu makanan yang aku dapat ialah untuk minum petang dan makan malam. Semuanya telah termasuk dalam harga tiket. Kalau tak cukup, nak yang lain, boleh pergi kantin atau order je guna kemudahan tab yang disediakan. Nanti sampai la makanan yang di order tu. Tapi makanan yang di order dari tab tu kena la bayar 

menu minum petang ada muffin, kek dan air kotak

kalau you terbaca, this is for you.
(14 Mac) 

menu makan malam disajikan jam 6.15 petang.. awal juga.. jadi, aku ada masa sehingga 6.55 petang untuk setelkan sebelum turun di Batu Gajah. 

not bad, licin tala aku kerjakan 


6. Layanan
Jika dilihat dari perkhidmatan yang diberi oleh pelayan koc (macam pramugari tugas dia) memang terbaik. Bersedia memberi khidmat dan melayan pertanyaan penumpang. Mereka duduk di kerusi paling depan di koc yang sama.

So, kalau diberi sponsor, memang aku nak lagi la guna koc perniagaan ni.. hahaha..

apapun bergantung bajet masing-masing.. yang penting semua selamat sampai ke destinasi yang ingin dituju. 

Twincity Marathon 2020

Tahun 2020 dibuka dengan penyertaan Twincity Marathon 2020 untuk jarak 42km. Kali pertama sertai Twincity adalah pada tahun 2018 dan edisi 2020 merupakan penyertaan kali kedua.

Kali ini lebih meriah dengan penyertaan geng-geng The Boss Afro yang semakin membiak selepas Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2019. Jadi, untuk menjayakan tema geng-geng The Boss Afro, buat pertama kalinya, aku berlari dengan mengenakan rambut afro untuk jarak jauh. Peserta dilepaskan pada jam 4.00 pagi.


Panas?? semestinya!! 5km pertama ok lagi, masuk km15 mula terasa panas, so, sekejap buka, sekejap pakai sehinggalah km22 untuk solat Subuh.

Selepas solat Subuh, terus mengenakan afro sehingga ke garisan penamat. Yang menariknya, walaupun hari sudah cerah, tidak pula terasa panas walaupun pakai afro tebal ni.

Ada runners yang tertarik dengan penampilan geng-geng The Boss Afro, sehingga ada yang berhenti seketika untuk bergambar. Yang komen tengok kami kelakar pun ada, bukan sahaja pada rambut, tapi beberapa siri kekecohan, lawak yang kami sembangkan sambil berjalan/berlari. Yang best, kami berhenti memeriahkan suasana di cp yang ada karaoke lead by Ihsan. Sempat lagi berkaraoke lagu Hati Emas.

Gambar oleh Fiz Said





Gembira bila dapat komen yang positif, terutamanya apabila ada yang menyatakan hilang penat tengok telatah kami. Apa yang penting kita enjoy masa berlari. Jangan stress & serius sangat, unless kalau ada target nak podium atau dapatkan personal best. Biasa la, setiap orang ada target masing2 bila berlari. Kita raikan perbezaan tersebut sebab itulah yang menarik dan membantu industri larian ke arah yang lebih sihat dan matang.




Tentang route, keseluruhannya ok, cuma sedikit berbukit ketika menghala ke garisan penamat di Persiaran Flora, Cyberjaya. Tentang masa, berjaya tamatkan dalam tempoh 6jam59minit. Tak target apa-apa catatan peribadi terbaik. Cukup sekadar tamatkan dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu 8 jam, apatahlagi dengan berafro, berkaraoke, bergambar dan lain lain ragam.



Gambar oleh Empty Kotak

Ada rezeki, berjumpa lagi di edisi 2021.