Monday, 6 April 2020

Ulasan Buku "Jangan Selewengkan Sejarah Melayu"

Apa itu Inferiority Complex? Secara literalnya ia bermaksud "rasa rendah diri". Dalam konteks sejarah pula ia bermaksud seseorang yang mempunyai rasa rendah diri, dan malu kepada apa-apa perkara berkaitan bangsanya sendiri sehingga boleh membawa kepada sindrom penafian (denial syndrome) dan paling kritikal ialah perasaan benci kepada kaum sendiri (racial hatred).

Ini terjadi kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah bangsa  dan dimomokkan dengan istilah-istilah dan konteks negatif serta penghinaan yang dikemukakan oleh  pihak lain terhadap bangsa sendiri. Semua ini sebenarnya dapat diatasi dengan MEMBACA dan MENONTON dokumentari sejarah bangsa sendiri!! 



Jadi, apa kaitan Inferiority Complex dengan entri kali ini? Nanti aku akan jelaskan. Untuk sesi ulasan buku, kali ini aku ketengahkan buku yang bertajuk JANGAN SELEWENGKAN SEJARAH MELAYU, yang ditulis oleh saudara Helmi Effendy yang juga merupakan  salah seorang admin laman muka buku The Patriots. Buku ni aku beli pada 12 Jun 2019 dan dah lama aku habiskan sebenarnya. Tapi yang menjadi pencetus aku membuat ulasan untuk buku ini adalah kerana manusia  bernama Tan Sri Dato Dr Hj Mujeebudeen (akaun Twitter). Nantilah aku kupas isu manusia yang seorang ni.  

Berbalik kepada ulasan buku.

Di dalam buku ini penulis dengan tegas menyanggah pendapat dan fakta yang tidak sahih dari pihak-pihak yang cuba memesongkan sejarah Melayu. Ada beberapa 'personaliti' telah mengemukakan fakta yang tidak betul dan serius seperti saudara Uthaya Sankar melalui bukunya yang bertajuk Malaiur Manikam yang mendakwa Bahasa Melayu berevolusi dari bahasa pasar (perdagangan) sebelum ia menjadi lingua franca. Beliau menjelaskan terdapat banyak kosa kata hasil komunikasi antara pedagang dari pelbagai negara, bahasa dan budaya yang kemudiannya menjadi kosa kata khusus yang difahami oleh orang-orang Melayu dan pedagang di Melaka.



Penulis menjawab tohmahan Uthaya Sankar dengan mengeluarkan bukti Bahasa Melayu sebagai sebahagian dari keluarga besar bahasa Austronesia. Kemudiannya penulis mengemukakan fakta yang menyatakan: 

1) Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa (Francois Valentijn):

2) Peranan Maharaja Ming Cheng Zhu (Dinasti Ming) memasukkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diajar kepada Jurubahasa China ketika menubuhkan Balai Bahasa Negeri-Negeri Asing pada tahun  1405 di Ying Tian (kini Nanjing). 

3) Prasasti Dong Chen Yau (abad ke-4 Masihi), Prasasti Kedukan Bukit (683M), Prasasti Talang Tuwo (684M), Prasasti Kota Kapor (686M), Prasasti Karang Brahi (686M). Kesemua prasasti ini dipahat dalam Bahasa Melayu kuno.

Jelas di sini bahawa penulis mempunyai ilmu dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang sejarah dalam mematahkan hujah saudara Uthaya Sankar.  



Apa yang malangnya ialah, perlecehan terhadap sejarah Melayu bukan sahaja cuba dilakukan oleh bangsa asing, tetapi juga oleh orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang sejarah bangsa, merasa rendah diri atau malu tidak bertempat dengan bangsa sendiri serta berpura-pura tidak ambil tahu kerana ada agenda peribadi. Manusia-manusia seperti ini di dalam diri mereka ada sifat Inferiority Complex sehingga sanggup menafi dan memutar-belitkan fakta-fakta dan seterusnya menyemarakkan lagi sifat penafian dan kebencian terhadap bangsa dan sejarah sendiri  apatahlagi jika mereka seorang yang berpengaruh.

Melalui buku ini juga penulis memperbetulkan salah anggap yang wujud dalam sebahagian masyarakat kita berkaitan sesetengah budaya Melayu yang dianggap tabu seperti menabur bunga di kuburan yang dikatakan meniru amalan Yahudi dan Kristian serta persandingan ketika kenduri  yang dimomokkan sebagai sebahagian daripada ajaran Hindu. 

Pada aku, kedua-dua perkara ini jika hendak dilaksanakan adalah bergantung kepada niat dan kaedah pelaksanaannya. Jika persandingan pengantin sehingga mendedah aurat dan membuka aib, maka tiadalah keperluan untuk bersanding atau yang harus dijaga itu sebenarnya adalah aurat dan aib. Bukannya meremehkan adat bersanding itu. Jika menabur bunga di atas kubur dengan tujuan menggantikan pelepah kurma dan bukan untuk membazir, maka tiada masalah untuk dilaksanakan.

Kelantangan penulis mengkritik sesetengah agamawan mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi ia perlu dilakukan apabila ada antara mereka sesuka hati dan mudah menjatuhkan hukum ke atas budaya bangsa yang tidak menyerupai budaya Arab. Ada sesetengahnya juga tidak betul dan boleh membawa kepada fitnah. 

Penulis juga mengkritik mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib yang mendakwa Melaka tewas kerana menggunakan pedang dan keris sahaja. Tidak ketinggalan, turut ditegur adalah Ustaz Ridhuan Tee Abdullah yang mengeluarkan kenyataan "Tanpa dakwah Cina, Melayu mungkin sembah pokok" ketika beliau mempersoalkan layanan yang diberikan kepada golongan mualaf.



Dari Uthaya Shankar dan Jayagopal Adaikkalam, kepada Amzarul Yuzrin Mohd Yusof, Zaharin Mohd Yasin dan PoyoMelayu (aku syak akaun FB palsu) sehinggalah kepada pendakwah terkenal Ustaz Ridhuan Tee Abdullah dan mantan Perdana Menteri, kesemua mereka dikritik penulis berbekalkan fakta-fakta yang disokong hasil kajian pakar-pakar sejarah. 

Keseluruhannya buku yang mempunyai 22 bab dan setebal 213 muka surat ini mampu menjawab segala penyelewengan, putar belit dan pemalsuan fakta yang cuba dibawa oleh mereka-mereka yang mengatakan Melayu tidak punya bahasa, sastera, teknologi dan tamadun. 


















   

Thursday, 2 April 2020

Ulasan Buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka

"Patut la Tom Pires cakap siapa yang menguasai Melaka, dia akan memegang leher Venice". Itu ayat yang terpacul secara automatik dari mulut aku semasa membaca buku Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka yang ditulis oleh Farahana Shuhaimi. Buku yang dibeli pada 12 Jun 2019.



Buku ini sangat mudah untuk difahami fakta-faktanya kerana penulis telah memecahkan mengikut tajuk-tajuk berikut:

1) Kota Melaka dan Penduduk (geografi dan struktur bangunan di Melaka)
2) Waris dan Pewaris Melaka (sehingga kejatuhan Melaka)
3) Pembesar dan Wilayah Melaka (struktur pentadbiran Melaka)
4) Melaka dan Ekonomi (Melaka sebagai pusat perdagangan)
6) Melaka dan Peperangan (strategi, kelengkapan perang dan pengkhianatan)
7) Melaka dan Pengangkutan (laut dan darat)
8) Melaka dan Permainan (permainan tradisional)
9) Melaka dan Rasuah (monopoli perniagaan, fitnah dan sikap tamak pegawai)
10) Melaka dan Cinta (perkahwinan raja-raja Melaka)
11) Melaka dan Undang-Undang (hukum kanun Melaka dan undang-undang laut Melaka)
12) Melaka dan Islam (ketibaan dan penyebaran Islam di Melaka)

Pada setiap tajuk, ada banyak sub-topik yang memfokuskan kepada fakta-fakta berkaitan Melaka sama ada sebelum, semasa ataupun selepas zaman kegemilangannya.

Tidak ramai mengetahui bahawa Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mampu membina tamadun kota yang hebat di zamannya. Aku sendiri walaupun sangat meminati sejarah, masih banyak persoalan mengenai Melaka terutamanya bagaimana keadaan sebenar Melaka pada zaman kegemilangannya dan sebelum kejatuhannya.

Dalam buku ini, penulis membentangkan fakta-fakta menarik yang belum pernah aku tahu. Sebagai contoh, di bawah tajuk Melaka dan Peperangan yang mempunyai sub-topik paling banyak dalam buku ini menyatakan Melaka ada pasukan penembak tepat!!wow!!serius la!!!?? aku tidak tahu menahu tentang skuad ini. Dikatakan bahawa pasukan penembak tepat ini berjaya melakukan tembakan tanpa dapat dikesan oleh askar-askar Portugis walaupun dalam keadaan cuaca yang baik dan panas terik. Ini menarik!!

Fakta-fakta yang dilampirkan di dalam buku ini juga mampu menangkis kenyataan pihak-pihak yang menyatakan bahawa Melaka pada ketika dahulu hanya sekadar kota pelabuhan kampung. Perlu diingatkan, setiap tamadun mempunyai garismasa untuk mencapai zaman emasnya. Tamadun tidak dibina dalam sehari, setahun hatta seratus tahun. Venice dahulu yang terbentuk dari 118 pulau berlumpur, mengambil masa selama lebih 500 tahun untuk mencapai puncak kegemilangan sebagai pusat perdagangan terkemuka di Eropah dengan pelbagai inovasi pembentukan kota dan pelabuhan di atas air.

Ya, Melaka mungkin bermula sebagai sebuah pelabuhan kampung, tetapi adalah mustahil sultan-sultan Melaka terus menerus membiarkan ia kekal sebagai pelabuhan kampung. Sebagai pewaris Srivijaya yang pernah menjadi kuasa agung maritim di sebahagian rantau Asia Pasifik, sudah pasti mereka mempunyai ilmu laut, politik dan geo-politik serta pengurusan dan pentadbiran yang bukan calang-calang dimiliki orang biasa ketika itu untuk membangunkan Kota Melaka.

Bayangkan, penulis menyatakan Kesultanan Melaka memiliki sekurang-kurangnya enam (6) buah kapal iaitu Kapal Mendam Berahi, Kapal Genta Segara, Kapal Sai'rul 'Alamin, Kapal Mir'atul-saffa, Kapal Batil Suasa dan Kapal Ranjang Bagung. Ini belum termasuk kapal-kapal untuk berdagang yang mana dinyatakan lapan (8) buah kapal Melaka mampu membawa muatan yang dibawa oleh 20 kapal Portugis!!!  Itu belum lagi aku lampirkan dalam satu catatan bahawa kapal dagang Melaka tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan China hanya kerana saiznya yang besar dan perlu berurusan di tengah laut!! Tidakkah itu menunjukkan teknologi perkapalan Melaka sebenarnya telah mencapai pada satu tahap yang canggih.

Sambil membaca buku ini, aku terfikir seandainya Melaka tidak tumbang, dan mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama lagi sekurang-kurangnya sehingga abad ke-18 atau 19, sudah pasti pelbagai ilmu perdagangan, pelabuhan, ekonomi, teknologi dan pelbagai lagi mampu untuk berkembang lebih maju kerana jarak waktu yang tidak begitu jauh dengan zaman moden.

Namun apakan daya, seperti yang dinukilkan penulis di dalam bukunya antara punca jatuhnya Kota Melaka ialah, kelemahan kepimpinan sultan itu sendiri, konflik politik dan rasuah di kalangan pedagang, pembesar dan pegawai istana, serta wujud pembelot di kalangan rakyat Melaka sendiri, pendatang dari India dan pedagang Cina. Amat menyedihkan apabila penulis menyatakan banyak orang  Melaka dibakar Portugis hidup-hidup di Bukit Tempurung dan wanita Melaka dimurtadkan.

Banyak pengajaran boleh diambil dari buku ini. Seseorang yang aku admire ada mesej di whatsapp mengatakan bahawa ada pelajarnya berkata pada dia "barang lama jangan dikenang". Aku balas semula, "wajar dikenang, dihargai dan diambil pengajaran"😉. Ya!! sejarah wajar dikenang, dihargai dan diangkat supaya ia jadi cerminan untuk generasi kita dan akan datang supaya tidak melakukan kesilapan yang sama yang pernah nenek moyang kita lakukan. Biarlah semangat sejarah itu tetap mengalir di dalam diri kita bagi memastikan jatidiri kita tetap utuh.