Thursday, 24 July 2014

Menyambut Kemenangan di Bulan Ramadhan




Pantas masa berlalu untuk Ramadhan 1435H. Sudah menghampiri malam ke-27 Ramadhan. Tiga (3) malam sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri. Satu bulan di mana ia disambut dengan penuh ketakwaan dan kesyukuran gilang gemilang berjaya menunduk dan mentarbiyahkan nafsu.

Namun, jauh di Timur Tengah, saudara kita di Gaza, Palestin sebenarnya terlebih dahulu menyambut kemenangan di bulan Ramadhan. Pemuda-pemuda Bridged al-Qassam yang lahir dan diasuh menjadi generasi Al-Quran dalam erti kata yang sebenar telah berjaya menggemparkan negara haram pengganas Zionist. 

 

Apabila bercakap mengenai ‘asuhan generasi Al-Quran’ ia bukanlah membawa maksud hanya duduk di masjid sambil berzikir dan beribadah semata-mata. Pemuda-pemuda Al-Qassam telah membuktikan bahawa dengan teknik dan kaedah yang betul melalui asuhan generasi Al-Quran, mereka dapat menguasai ilmu dunia dan akhirat.

Ilmu peperangan, teknologi persenjataan diperkasakan dengan amal ibadat yang mantap antaranya tidak meninggalkan solat waktu secara berjemaah, meyakini dan mengimani pembebasan Al-Aqsa, dan penghafaz Al-Quran, perjalanan kehidupan yang penuh ranjau dihujani peluru, bom serta kekejaman pengganas Zionis sejak dari zaman kanak-kanak, menjadikan pemuda-pemuda Al-Qassam tegar menyalakan obor perjuangan demi membebaskan Palestin dan Al-Aqsa dari cengkaman puak pengganas Zionis.

 

Perjuangan dan pergerakan mereka nyata amat menggentarkan puak pengganas Zionis. Hal ini dapat dilihat apabila ada yang sanggup menembak kaki sendiri kerana tidak mahu ke medan berhadapan dengan pejuang Al-Qassam. Malah ada juga yang membunuh diri. Lebih teruk, mereka mensasarkan wanita, orang tuan, kanak-kanak dan bayi bertujuan untuk melemahkan semangat pejuang Al-Qassam.




Namun semua itu tidak pernah melunturkan semangat juang pemuda-pemuda Al-Qassam. Kerana mereka tahu, perjuangan mereka adalah di jalan yang benar. Mati itu pasti, syahid insyaAllah. Biar darah merah yang gugur, harum dengan wangian-wangian syurga dan terus mengalir membasahi bumi Gaza dan Palestin. Ini menjadikan mereka tergolong di kalangan orang-orang yang menyambut kemenangan di bulan Ramadhan.